Monday 1 October 2018

AWAS SCAMMER YANG MENGUNAKAN NOMBOR BALAI POLIS



Di Malaysia, dalam setahun jumlah kerugian kerana scam hampir mencecah 2 billion ringgit. Tidakkah kamu tertanya-tanya bagaimana orang-orang ini boleh tertipu sedangkan sudah sedia maklum perkara tersebut?


Sebenarnya, para scammer ini ada banyak cara untuk menipu. Modus operandi mereka sentiasa berubah-ubah. Salah satu contoh ialah macau scam. Penipu ini terdiri daripada beberapa orang yang bersubahat dan menyamar sebagai pihak polis dan pegawai bank.


Berikut ialah post daripada salah seorang mangsa penipuan macau scam. Semoga kita dapat terhindar daripada perkara-perkara seperti ini.

Pengalaman sendiri oleh Raunna Hani

Perkara ini terjadi semasa waktu bekerja. Saya telah menerima panggilan daripada satu nombor yang didakwa pejabat pos. Orang itu menghubungi saya kerana menyatakan ada surat pos laju yang tidak dituntut. Ye, kebetulan pada minggu itu memang saya ada buat pembelian secara talian. Jadi saya mengesyaki barang saya yang tidak sampai. Lalu dengan mempercayai panggilan itu, orang itu bertanya nama saya dan nombor kad pengenalan. (Itulah kesilapan saya yang pertama.) Orang itu berkata yang saya ada seperti surat berdaftar (register) atas nama saya. Orang itu juga bertanya, adakah saya ingin mengetahui isi kandungan surat tersebut, tanpa berfikir panjang saya meminta dia bukakan surat itu. Lalu dia membacakan surat itu. Surat itu adalah berkenaan dengan hutang kad kredit saya yang tertunggak. Saya menafikan yang saya tidak pernah memiliki sebarang kad kredit apatah lagi akaun dari bank tersebut. Tetapi orang tu menyatakan yang kad kredit itu di atas nama dan nombor kad pengenalan saya, mungkin akan diambil tindakan undang-undang serta disenaraihitamkan. (Sebenarnya saya cukup fobia dengan perkataan ‘senarai hitam’, kerana sebelum ini nama saya telah disenaraihitamkan oleh ptptn sebelum saya berlepas keluar negara.) Untuk pengetahuan semua, surat itu dialamatkan di Melaka sedangkan saya berada di negeri lain.

Jadi pekerja pejabat pos itu telah berkata yang mungkin ada orang menyalahgunakan nombor kad pengenalan saya kepada pihak ketiga. Lalu dia telah menyambungkan saya kepada balai polis (IPK Melaka).

Setelah saya dihubungkan dengan IPK melaka. Seseorang kononnya pegawai polis berpangkat sarjan menjawab panggilan saya. Dia telah meminta saya memeriksa nombor yang tertera di telefon saya adakah sama dengan nombor telefon balai polis ipk melaka di website rasmi. Ye untuk pengetahuan semua, memang betul dan sama! Jadi saya pun telah memberitahu kepadanya tentang laporan penyalahgunaan nombor kad pengenalan saya daripada pihak ketiga tadi.

Dia telah mengambil laporan dan menyoal siasat tentang kes saya itu. Dia juga berkata segala perbualan akan dirakam, dan meminta saya menjauhkan diri dari semua orang kerana takut terakam sekali. Ini akan menyebabkan proses siasatan menjadi sukar. Antara soalan siasatan itu; nama saya, nombor kad pengenalan, pernah ke Melaka atau tidak, pernah kehilangan kad pengenalan atau tidak, pernah bagi salinan kad pengenalan saya untuk sebarang permohonan atau surat perjanjian.

Selepas saya disoal siasat, pegawai polis itu telah buat pengesahan. Dia juga berkata salinan laporan itu akan dihantar kepada bank, kediaman pelapor dan IPK Melaka. Lalu dia terus mengesahkan kepada pegawai lain. Di dalam panggilan, kedengaran suasana seperti di dalam balai polis. (Sebelum ini saya pernah menghubungi balai polis untuk melaporkan aktiviti jenayah yang nyaris terjadi ke atas saya).

Tiba-tiba, pegawai tadi menyatakan dengan nama dan nombor kad pengenalan saya yang tertera; saya juga terlibat dengan kesalahan lain. Ada lagi kes yang menggunakan nama saya. Tetapi kes ini agak besar dan berprofil tinggi. Kesalahannya adalah saya terlibat dengan penggubahan wang haram. Ada satu akaun di atas nama saya dan bank lain pula (bukan bank yang sama di atas). Saya juga menafikan yang saya memiliki akaun bank itu. Pegawai itu menyatakan pesalah itu telah menyebut nama saya dan mengenali saya. Pesalah itu telah memasukkan wang itu ke atas akaun saya. Pegawai polis itu minta saya rahsiakan daripada pengetahuan ramai kerana ini melibatkan kakitangan kerajaan berpangkat tinggi. Pegawai itu mendakwa, semua akaun saya akan dibekukan dan juga saya akan ditahan reman sehingga maksimum 45 hari untuk membantu siasatan.

Masa itu saya agak keliru dan tertekan. Fikiran saya bercampur aduk dengan hal-hal kerjaya saya dan juga pengajian saya. Apa akan terjadi, jika saya ditahan reman yang di mana saya seperti difitnah atau dituduh di atas bukan kesalahan saya. Apakah saya akan terbuang kerja dan juga pengajian? Saya terasa dunia saya gelap sekejap dan panik! Saya tidak pernah terlibat dengan sebarang aktiviti jenayah.

Pegawai polis itu meminta saya untuk bertenang dan dia cuba untuk membantu saya. Dia akan bantu saya untuk dijamin dari direman. Tindakan pertama katanya, semua akaun akan dibekukan untuk sementara waktu. Dia telah meminta maklumat semua jenis akaun saya. Mujur saya tidak beritahu secara terperinci seperti maklumat nombor akaun dan nombor pin. Lalu dia meminta saya berkata benar kerana ini akan melibatkan kerjaya dia sekiranya saya terlepas. Tetapi dia berkata untuk tidak ditahan reman, dia perlu meminta pengesahan dari ketua atau orang atasan dia, kerana dia berpangkat sarjan sahaja.

Selepas itu, panggilan disambungkan kepada orang atasan, yang dikenali kononnya sebagai ‘Tuan Ong’. Tuan Ong berkata akan cuba bantu saya untuk diikat jamin dari dikenakan tindakan reman. Dia meminta saya untuk ke Melaka petang itu juga (dalam masa sejam), sedangkan saya berada di negeri lain yang agak mustahil untuk sampai dalam tempoh singkat.

Jadi kerana dia bersungguh untuk membantu saya, dia meminta untuk mengosongkan duit dari akaun yang melebihi RM500. Mujur masa tu saya dah selesaikan semua komitmen bulanan. Hanya ada satu akaun yang memiliki jumlah seribu ringgit. Dia telah memberi butir-butir nombor akaun. Kata dia nombor akaun ini adalah dari BNM.

Tanpa berfikir panjang, saya telah memasukkan duit ke dalam akaun itu walaupun dalam hati rasa macam pelik dengan nombor akaun tersebut. Kerana dia telah memberi tempoh sebelum jam 6 untuk diikat jamin. Tuan Ong itu berkata, setelah habis siasatan duit itu akan dipulangkan.

Setelah pulang dari kerja, fikiran saya sangat berkecamuk. Apa akan terjadi pada saya sekiranya saya di dalam kes jenayah polis? Bukan sebulan dua ianya selesai. Sedangkan saya perlu keluar negara untuk urusan kerja dan pengajian. Pasti akan disenaraihitamkan? Saya balik dan solat, berdoa bersungguh-sungguh dan menangis teresak-esak sebab saya rasa sangat teraniaya di atas bukan kesalahan saya.

Tiba-tiba, Allah beri saya petunjuk. Saya terlintas untuk mencari maklumat di’google’. Tujuan saya mencari maklumat itu bukan saya mengesyaki sindiket scam ini. Saya mencari maklumat untuk mangsa-mangsa difitnah di atas pertuduhan bukan di atas kesalahan sendiri.

Tidak disangka-sangka saya telah terbuka satu blog menceritakan tentang scam. Modus operandi memang mirip seperti saya! Tarikh kejadian dalam masa yang terdekat dengan saya.

Saya tidak menunggu lama, terus saya ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan. Sekarang ni kes masih dalam siasatan polis dan saya akan melaporkan ke BNM secepat mungkin. Salah satu maklumat yang saya perolehi, saya mempunyai nombor akaun seperti diberi oleh ‘Tuan Ong’ tadi berserta nama penuh orang itu. Dan setelah saya cari dalam Internet, orang itu salah seorang penerima BRIM! Nama penuh pegawai kononnya pekerja pos pun saya catit. Segala maklumat kejadian, jam berapa, nombor telefon, nombor rujukan semua ada di dalam laporan polis. Saya tahu mungkin maklumat seperti nama si penjahat itu tidak benar hanya penipuan semata. Tetapi semua itu saya berharap boleh membantu polis untuk menyiasat kes ini.

Saya tahu, duit itu tidak akan kembali. Saya redha sekiranya ini harganya untuk banteras jenayah ini. Yang penting pasrah saya bukan sebab berserah, selagi saya boleh bantu pihak berkuasa untuk menumpaskan kes ini, akan saya bantu. Saya tidak mahu kejadian ini terjadi kepada orang lain. Entahlah, saya terasa seperti berdendam sekiranya saya dapat lagi panggilan itu, saya nak sangat ‘kantoikan’ orang itu. Itu doa saya setiap hari. Perkara yang membuat saya sedih, semasa membuat laporan polis, ada juga seorang makcik penjual di tepi jalan juga kena tipu oleh scam sebanyak lebih 10ribu… bayangkan kalau orang-orang yang memerlukan wang dalam keadaan terdesak tetapi telah ditipu???


No comments:

Post a Comment