Thursday, 31 January 2019

HANTU DALAM BALANG DIJUAL 55,000 USD


Pada tahun 2003, seorang pengguna eBay dari Arkansas bernama Teajay101 membuat lelongan hantu dalam balang kaca dengan tawaran bernilai 99 USD. Beliau menulis di ruangan penerangan bahawa balang berisi hantu tersebut telah diambil di salah sebuah tapak perkuburan yang terbiar pada tahun 1980 semasa beliau cuba mencari logam.


Beliau melanjutkan, "Selepas menggali kira-kira sedalam 2 kaki, sekop saya menyentuh kotak kayu yang sudah reput, terdapat 2 balang dan jurnal lama di dalam kotak kayu tersebut. Terdapat simbol dan tulisan aneh pada kedua balang tersebut. Semasa cuba mengeluarkan kedua balang tersebut, salah satu telah pecah dan sesuatu seakan-akan asap hitam meresap keluar."

"Saya meninggalkan balang yang sudah pecah dan membawa pulang balang yang masih elok bersama dengan buku jurnal lama. Sewaktu membaca isi jurnal tersebut, bulu roma saya meremang. Saya hanya boleh mengatakan benda tersebut sebagai "The Black Thing".  

"Saya akhirnya bercakap dengan seseorang yang mempunyai pengetahuan berkenaan balang tersebut. Menurutnya, saya hanya mampu menyingkirkan "benda" tersebut setelah saya melepaskan balang tersebut kepada orang lain."


Sewaktu lelongan tersebut dibuat, tawaran tertinggi ialah 55,000 USD. Kini eBay sudah membuat sekatan untuk tidak membenarkan sebarang benda yang mempunyai unsur sama dilelong. Sehingga kini, keberadaan balang tersebut menjadi misteri.

No comments:

Post a Comment