Suatu hari, seorang lelaki tua berjalan di tepian pantai. Dia melihat ombak-ombak pagi itu menghempas pantai tanpa rasa jemu. Setiap kali ombak kembali ke laut, ia meninggalkan ratusan tapak sulaiman yang masih kecil.
Hati lelaki tua itu terjentik. Jika ia meninggalkan tapak sulaiman itu terdampar di tepi pantai, sudah pasti mereka akan mati terkena pancaran cahaya matahari pagi. Dia pun mengambil langkah perlahan-lahan dan mengutip tapak sulaiman tersebut. Dengan tekun ia membaling tapak sulaiman itu kembali kelaut. Dia melakukannya berulang kali sehinggalah seorang lelaki muda datang menghampiri dan berkata, "Apa yang cuba kamu lakukan? Di sini ada ratusan tapak sulaiman. Berapa banyak yang akan kamu mampu bantu? Apakah perbezaan yang kamu mampu buat?" Lelaki tua itu tidak segera menjawab, dia mengambil selangkah lagi dan mengutip seekor tapak sulaiman lalu berkata, "Apa yang saya lakukan ini mungkin tidak mampu mengubah segalanya. Tetapi, ianya mempu memberi perubahan kepada yang satu ini."
Seberapa besarkah perubahan yang mampu kita lakukan? Besar atau kecil? Ianya tidak penting. Jika kita masing-masing melakukan perubahan yang kecil, akhirnya kita akan mampu menghasilkan perubahan yang besar.
Saya pernah mendengar seorang lelaki yang berkata dia tidak akan balik mengundi. Katanya, undinya hanya sekeping dan tidak akan mengubah apa-apa. Mungkin dia tidak tahu, pada tahun 2004 iaitu PRU yang ke 13, calon dari parti PAS yang bertanding menentang calon parti BN telah memenangi kawasan DUN Kemuning Kelantan dengan hanya majoriti tipis iaitu dua undi sahaja. (PAS 6,078 undi, BN 6,076 undi). Bayangkan jika pada waktu itu, 3 orang pengundi PAS enggan datang mengundi.
Post ini tidak mempunyai tujuan politik. Hanya sekadar contoh dan cerita inspirasi untuk kita semua. Jangan hanya mengejar perkara-perkara yang besar sehingga mengabaikan perkara-perkara kecil. Mungkin saja, perkara-perkara kecil itu adalah batu loncatan untuk kita mencapai perkara-perkara yang besar.
Salam positif. Semoga anda semua mencapai kejayaan di dalam setiap perkara. Jumpa lagi!
No comments:
Post a Comment