Thursday 17 January 2019

IBU 7 ANAK KONGSI TIPS ELAK ANAK MENANGIS WAKTU SEKOLAH


Sudah masuk beberapa minggu persekolahan, anak masih menangis ketika dihantar ke sekolah? Sikap dan penerimaan kanak-kanak terhadap persekitaran dan perubahan adalah tidak sama. Ada yang mampu menyesuaikan diri serta merta dan ada pula yang mengambil masa yang agak lama untuk membiasakan diri berpisah daripada ibu kesayangan mereka.

Ketika pertama kali menghantar anak saya ke pra-sekolah, anak saya tidak mahu berpisah. Melihat anak-anak kecil lain turut menangis, dia bertambah cemas dan tidak mahu saya tinggalkan. Semasa guru-guru kelas mereka memesan ibubapa meninggalkan anak masing-masing, perasaan bersalah dan berat hati saya bertambah apabila melihat raut wajah anak saya yang hendak menangis.


Dalam situasi yang agak tidak terurus itu, ada seorang anak perempuan yang kelihatan gembira dan tidak terganggu dengan situasi tersebut. Anak perempuan itu hanya tersenyum dan mengucapkan selamat tinggal ketika melihat ibunya melangkah keluar. Kagum dengan perkara itu, saya segera bertanya kepada ibu anak tersebut. Apa sahaja rahsia ibu ini, saya mesti ambil tahu.

Tidak segan berkongsi ilmu, ibu kepada 7 orang anak itu berkongsi rahsia tersebut. Menurutnya, pengalaman memiliki 7 orang anak menjadikan dia mahir dalam bermain psykologi kanak-kanak. 


Pertama katanya, jadikan anak tersebut suka akan persekolahan. Jangan pernah jadikan sekolah itu seperti sesuatu yang negatif atau kaitkan sekolah dengan perkara negatif. Contohnya, mengatakan sesuatu yang mendesak seperti, "Kita mesti pergi ke sekolah, walau apa jua keadaan" atau "Yea, esok  tiada sekolah". Boleh juga dalam bentuk ugutan seperti "Saya akan buang mainan kamu kalau menangis" dan ayat suapan seperti "Kalau kamu pakai kasut, malam ini saya belikan aiskrim".

Ayat positif yang boleh dikongsi dengan anak agar mereka sukakan sekolah ialah seperti, "Di sekolah nanti kamu dapat ramai kawan baru", "banyak taman permainan, buku cerita, lagu dan aktiviti-aktiviti menarik". Jangan lupa juga untuk bertanya hal-hal yang mengembirakan mereka sesudah balik dari sekolah. Contohnya, tanya mereka siapa kawan mereka bermain, makan apa, nyanyi lagu apa, belajar apa dan sebagainya. Buat mereka rasa anda sangat mengambil berat.


Tips yang kedua ialah, memberikan anak anda "barang istimewa". Contohnya jam tangan lama anda, gelang tangan kesukaannya ataupun klip rambut. Dengan menyentuh barang-barang tersebut, mereka boleh merasakan selamat dan perasaan jauh dari anda tidak seberapa dirasai. Anda juga boleh mengatakan kepada anak anda bahawa anda mahu mereka menjaga barang kesayangan tersebut dan mengembalikannya semula setelah pulang dari sekolah. Hal ini mampu memberi mereka gambaran bahawa kamu akan bertemu semula dan perasaan yang kamu tidak pernah jauh darinya.

No comments:

Post a Comment