Monday, 8 April 2019

BONGKAR RAHSIA SEBENAR JENAYAH SCAM

Baca atau anda mangsa seterusnya. Saya berkongsi rahsia modus operandi jenayah SCAM ini sebab setiap tahun angka mangsa semakin bertambah. Cukup menghairankan apabila jenayah ini tidak berkurang sedangkan sudah banyak kes-kes yang dilaporkan. Adakah ini salah pihak polis tidak cekap ataupun salah si mangsa yang mudah terperdaya? 

Jangan pandang mudah sebab mangsa-mangsa ini selalunya  dari kalangan yang berpelajaran, berharta dan bijak mengurus kewangan. Bayangkan nilai kerugian yang dilaporkan mencecah ratusan juta setiap tahun.

PENIPUAN GORES DAN MENANG
Siapa yang tidak teruja apabila dinyatakan memenangi hadiah yang lumayan hanya dengan menggores sekeping kertas.
Namun, tanpa disedari ia merupakan helah licik sindiket penipuan bagi memperdaya mangsa yang tidak menyedari mereka bakal mengalami kerugian yang lebih besar jumlahnya daripada nilai hadiah yang ditawarkan.
Sindiket penipuan yang memperdaya mangsa menggunakan taktik seperti berikut:
1. Mangsa didatangi suspek serta meminta mangsa memilih kad sedia ada yang menawarkan pelbagai hadiah menarik dan lumayan. 

2. Suspek biasanya akan berkeliaran mencari mangsa khususnya warga emas di kawasan tumpuan seperti pasar raya dan pusat membeli belah.



3. Mangsa yang kononya ‘bernasib baik’ akan diberi pilihan memilih hadiah yang ditawarkan setelah cabutan dibuat.

4. Mangsa kemudianya diminta datang ke pejabat suspek untuk berunding tentang hadiah yang telah dimenangi. 

5. Mangsa dipengaruhi supaya membayar sejumlah wang bagi mendapatkan hadiah tersebut dimana suspek sanggup menemani mangsa mengeluarkan wang di bank sebelum diserahkan.

6. Bagaimanapun, mangsa menyedari ditipu selepas mendapati barangan yang diberi tidak berkualiti dan tidak sepadan dengan jumlah wang yang diserahkan.


PENIPUAN LOVE SCAM
Memancing cinta menggunakan kata-kata romantis dan janji-janji palsu untuk memperdaya mangsa merupakan taktik penipuan ‘Love Scam’ yang digunakan untuk menjerat mangsa yang kebanyakannya wanita kesepian dan ingin mencari pasangan segera.
Modus Operandi:
1. Sindiket akan menghantar mesej secara rawak melalui laman sosial seperti Facebook, Twitter dan e-mel untuk menjerat mangsa.

2. Sindiket akan mula bertindak apabila mangsa memberi respon kepada mesej yang dihantar.



3. Sindiket akan menggunakan profil akaun palsu dan menyamar sebagai lelaki kulit putih atau melayu untuk memujuk dan meyakinkan mangsa. 

4. Setelah mangsa terjerat dengan cinta sindiket, sindiket mula menagih simpati dan meminta pertolongan dari segi kewangan daripada mangsa. 

5. Mangsa yang terpedaya akan memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun sindiket. 

6. Setelah wang dimasukkan dan diterima, sindiket akan terus menghilangkan diri.


PENIPUAN MACAU SCAM
i) Cabutan bertuah (Lucky Draw)
Pengadu menerima panggilan telefon yang mendakwa mangsa telah memenangi pertandingan cabutan bertuah (lucky draw) bernilai jutaan dollar dari syarikat Hong Kong dan Macau.
Pemanggil kemudiannya memberikan nombor telefon untuk dihubungi sekiranya pengadu mahu menuntut hadiah berkenaan. setelah bersetuju, pengadu dikehendaki membayar cukai dan insuran dengan cara memasukkan wang ke dalam akaun tertentu bagi menuntut hadiah tersebut. setelah transaksi selesai, pemanggil gagal dihubungi dan wang hadiah yang dijanjikan tidak diterima.
ii) 'Spoofing' pegawai polis / agensi kerajaan
Pengadu menerima pangilan telefon daripada individu yang mengaku sebagai pegawai mahkamah dan polis serta mendakwa bahawa pengadu terlibat di dalam kegiatan haram (seperti ah long, kongsi gelap dan pengedaran dadah) dan mangsa kemudiannya diminta untuk memindahkan wang dari akaunnya ke dalam akaun tertentu, kononnya bagi mengelakan akaun mangsa dibekukan oleh pihak berkuasa.
iii) 'Spoofing' pegawai bank negara atau bank komersil (kad kredit)
Mangsa menerima panggilan daripada seseorang yang mengaku sebagai pegawai bank, dengan dakwaan bahawa mangsa gagal membuat bayaran kad kredit. pengadu kemudiannya diarah untuk menghubungi seseorang, kononnya pegawai dari Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau akaun bank dibekukan. mangsa akhirnya diperdaya untuk membuat pemindahan wang ke nombor akaun tertentu melalui e-banking atau melalui mesin deposit tunai (CDM).
(iv). Tipu culik dan minta wang tebusan
Mangsa menerima panggilan telefon daripada seseorang yang mendakwa anak atau saudaranya diculik. mangsa diperdaya untuk memindahkan wang tebusan ke nombor akaun pihak ketiga yang diberikan oleh pemanggil. (terkesan juga pelbagai helah dan taktik lain yang digunakan oleh ahli-ahli sindiket untuk memperdayakan mangsa, termasuk dakwaan langgar lari dan gagal membayar hutang pinjaman bank / institusi kewangan).
Apa yang perlu dilakukan jika anda berdepan situasi seperti di atas:
i). Sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat atau tipu helah pihak-pihak tertentu;
ii) Jangan sesekali panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil, tanpa terlebih dahulu menghubungi pihak polis atau institusi kewangan terbabit;
iii) Jangan hubungi semula nombor telefon yang anda terima. sebaliknya dapatkan nombor telefon rasmi syarikat, organisasi atau institusi terbabit untuk pengesahan lanjut;
iv) Jangan dedahkan nombor akaun bank, nombor kad ATM atau kad kredit anda kepada orang/pemanggil yang tidak dikenali.


PARCEL SCAM
1. Mangsa dalam kes-kes penipuan bungkusan pada lazimnya akan berkenalan dengan suspek melalui laman sosial. 

2. Suspek seterusnya akan meyakinkan mangsa bahawa dia telah jatuh cinta dengan mangsa dan seterusnya berhasrat mengirimkan bungkusan kepada mangsa sebagai tanda cinta. 

3. Setelah bungkusan tersebut dikirim, mangsa akan dihubungi oleh seseorang yang mendakwa sebagai pegawai kastam atau syarikat perkhidmatan penghantaran dan memaklumkan bungkusan yang dikirim kepada mangsa telah sampai. 

4. Mangsa kemudiannya diarahkan membayar cukai atau insuran kerana bungkusan tersebut dikesan mengandungi wang/barang berharga yang tidak diisytihar. 

5. Mangsa turut menerima panggilan daripada warga tempatan yang mengatakan wang pelepasan perlu dibayar ke dalam akaun tertentu yang lazimnya dimiliki warga tempatan. 

6. Mangsa hanya sedar ditipu apabila barang yang dijanjikan tidak diterima dan pihak sindiket berterusan meminta wang daripada mangsa dengan memberikan pelbagai alasan yang berbeza.

TIDAK MAHU MENJADI MANGSA? BELAJAR RAHSIA MEREKA.

No comments:

Post a Comment