Sepulangan Gafur dari menoreh getah hanya menambah susah di hatinya. Jauh di hujung tiang bawah kulung rumahnya, terlihat jelas ayam yang ia baru beli semalam sudah tidak bernyawa, mati.
Perasaan marah mulai membuak. "Ini mesti kerja anjing sialan itu. Selalu saja menyusahkan!" Herdik Gafur di dalam hati. Sudah sampai waktu, Gafur tidak mampu lagi mengawal emosi amarahnya.
Sebaik sahaja Gafur melihat anjing peliharaannya itu datang menghampiri sambil tercunggap-cunggap kepenatan, dia tidak membuang masa. Ini masanya dia memberi pengajaran. Maklumlah, ayam itu baru sahaja dibeli dengan wang hasil kerja keras dia membanting tulang. Lantas, Gafur segera mengenggam sebatang kayu buruk yang kebetulan berada berhampiran. PAP!! Kayu buruk itu patah sebaik sahaja ia menghentam belakang badan si Putih, anjing yang sudah menjadi teman setianya ketika pergi menoreh getah selama ini. Tidak pernah walau sekali si Putih membiarkan Gafur pergi ke kebun bersendirian. Mungkin benar kata orang, anjing itu adalah kawan yang paling setia.
Si Putih menjerit kesakitan. Pukulan itu tidak pernah dijangkakannya. Dalam sakit si Putih memecut pergi. Sesekali ia menoleh kebelakang melihat Gafur. Mungkin hatinya sebak melihat tuan yang ia sangat sayangi tergamak untuk memukulnya. Mungkin juga ia masih cuba memikirkan, silap apa yang sudah ia lakukan.
Sudah jam 3 petang, kelibat si Putih masih tidak kelihatan. Makanannya yang berada di dalam bekas masih tidak terusik sejak beberapa jam yang lalu. "Ah! Anjing juga boleh merajuk seperti ini?" Bisik Gafur di dalam hati.
Sambil duduk di kaki anak tangga, barulah Gafur teringat. Bangkai ayam itu masih belum ditanam. Tanpa membuang waktu, dia pun segera mengambil bangkai ayam tersebut dan membawanya di kawasan semak belakang rumah.
Sedang gafur mengangkat ayam itu, dia menyedari sesuatu yang tidak kena. Ayam itu tidak mempunyai luka kesan gigitan. Yang jelas, ternyata ayam itu tidak mati kerana si Putih. Mesti ada sebab lain. Lagi pula, selama ini si Putih bersamanya sewaktu menoreh getah. Tidak mungkin si Putih berada di rumah untuk membunuh ayam tersebut. Silap, memang silap. Tetapi waktu tidak boleh berundur kembali.
Dengan perasaan bersalah menyelubungi Gafur, dia meneruskan niatnya untuk menanam bangkai ayat tersebut. Tetapi alangkah terkejutnya apabila dia menemukan punca sebenar kematian ayam tersebut. Dua titik lebam kecil yang ia temukan di bangkai ayam tersebut merupakan kesan gigitan ular. Dan kini ular tersebut sudah tertiarap mati. Dan disamping ular itu juga si Putih terbaring kaku tidak bernyawa. Sebelum ajal menjemput si Putih kerana bisa ular tedung itu sudah merebak ke jantung, ia berjaya mengigit kepala ular tersebut sehingga ular tersebut turut tidak bernyawa. "Ini adalah jasaku yang terakhir untuk tuan. Terima kasih untuk segalanya. Tuan adalah sahabat terbaik"
No comments:
Post a Comment